Wednesday, 19 October 2011

Teknologi kardio kukuhkan KIST.


KUALA TERENGGANU 2 Ogos - Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) mengukuhkan peranannya sebagai salah sebuah institusi peneraju dalam pengajian sains kesihatan dengan memperkenalkan satu kursus baru iaitu Diploma Teknologi Kardiovaskular.

Ia merupakan kursus ke-17 yang ditawarkan oleh KIST yang dalam proses pengembangan pesat sejak mulai beroperasi pada 2005 di kampus Kelantan di Bachok.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (pengambilan pelajar), Nurul Hidayat Mohd. Kasim memberitahu, kursus itu dirintis oleh KIST berikutan permintaan tinggi dan pasaran kerja yang semakin luas dalam bidang kardiovaskular.

''Kursus itu telah mula dijalankan di kampus Kelantan mulai Jun lalu dengan pengambilan kumpulan perintis seramai 35 orang dan jumlah pengambilan dijangka ditingkatkan kepada 50 orang September depan.

''Bagi melahirkan lebih ramai kumpulan 'juruteknik jantung' ini, KIST menyasarkan pengambilan pelajar pada tahun depan ditingkatkan kepada 200 orang lagi melalui empat sesi pengambilan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, Diploma Teknologi Kardiovaskular ini diwujudkan bagi melahirkan Juruteknik Kardioloji dan Perfusionist Kardiak iaitu individu yang membantu pakar jantung dan bedah jantung dalam membantu mendiagnosis dan merawat pesakit masalah jantung dan salur darah peripheral.
"Kita yakin kursus baru ini mampu menjamin potensi kerja yang baik kepada pelajar sebagaimana kursus-kursus lain yang ditawarkan di KIST sebelum ini.

''KIST mempunyai makmal lengkap untuk pembelajaran bersistematik di bawah bimbingan kumpulan pensyarah, instruktor klinikal yang berkelayakan dan berpengalaman luas. Pelajar akan mendapat pembelajaran dengan berkesan," ujarnya.

KIST sehingga ini menawarkan kursus Pembantu Perubatan (lelaki dan wanita), Farmasi, X-Ray, Syariah, Senaman dan Sukan, Radioterapi, Fisioterapi, Teknologi Makmal Perubatan, Falak Syarie, Pengurusan Perkhidmatan Makanan Halal, Kesihatan Persekitaran, Keselamatan Pekerja, Kejururawatan dan Psikologi, Terapi Cara Kerja dan Sijil Pembantu Kesihatan Awam.

Institusi itu kini menempatkan kira-kira 5,000 pelajar dari seluruh negara melalui kampusnya di Pantai Timur dan kini mula melebarkan sayapnya di Sarawak melalui penubuhan Institut Teknologi Sarawell.

"Ketika ini, hampir kesemua pelajar KIST menjalani latihan amali pada setiap semester di hospital kerajaan dan klinik kesihatan di seluruh Pantai Timur yang mana mereka memperlihatkan reputasi yang baik.

''Justeru, hampir kesemua mereka juga telah mendapat pekerjaan dan kebanyakannya bertugas di hospital kerajaan, hospital tentera dan hospital swasta seluruh negara," katanya.

Katanya, yuran pengajian keseluruhan adalah sebanyak RM52,800 namun, setelah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengehadkan kadar pinjaman RM45,000 untuk semua kursus sains kesihatan mulai September ini, bayaran selebihnya akan ditanggung oleh Yayasan KIST.

''Ia bagi mengelak para pelajar daripada terbeban dan mereka boleh belajar dengan selesa tanpa kekangan kewangan. Malah bayaran semasa hari pendaftaran sekadar RM100 dan selebihnya boleh dijelaskan secara berkala," ujarnya.

No comments:

Post a Comment