KUALA LUMPUR: Pengurangan waktu kerja doktor pelatih mengikuti housemanship di hospital kerajaan mampu menangani risiko kesilapan merawat pesakit yang berpunca daripada tidak fokus kerana kurang rehat dan tidak cukup tidur.
Langkah itu juga mengatasi tekanan menyebabkan sebilangan doktor pelatih mengalami masalah mental sehingga ada yang mahu menukar karier kerana tidak tahan waktu kerja panjang dan beban berlebihan.
Ia juga memberi ruang kepada doktor pelatih untuk mendapatkan cukup rehat selain mempunyai masa berkualiti sebelum kembali bertugas di hospital.
Pakar Perunding Kanan Psikiatri dan Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Zain, berkata langkah itu sejajar amalan di negara maju termasuk United Kingdom (UK) yang menetapkan waktu maksimum bekerja bagi doktor pelatih seminggu.
Katanya, pengurangan waktu bekerja daripada 90 jam kepada 54 jam seminggu bagi housemanship atau latihan pegawai perubatan siswazah itu juga selaras dengan pertambahan doktor pelatih yang mencecah antara 3,000 hingga 4,000 orang setahun.
“Negara maju mengurangkan waktu kerja doktor pelatih kerana apabila mereka kurang stres, peluang untuk menghidap penyakit psikologi dan melakukan kesilapan ketika bekerja akan berkurangan.
“Ini penting kerana membabitkan nyawa manusia (pesakit dirawat).
“Apabila doktor pelatih berasa tenteram dan aman dengan mendapat cukup rehat serta tidur, mereka akan sihat dari segi fizikal, mental dan emosi untuk bekerja,” katanya mengulas laporan Berita Harian mengenai pengurangan waktu kerja doktor pelatih bermula 1 September ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata tindakan Kementerian Kesihatan itu bagi mengurangkan tekanan yang menyebabkan mutu perkhidmatan kira-kira 7,000 doktor pelatih terjejas.
Ia juga selaras kajian pada 2009 yang mendapati 67.8 peratus doktor pelatih mengalami stres dan 53 peratus berniat meninggalkan bidang itu kerana tidak tahan dengan beban kerja dengan 30 hingga 40 peratus menyifatkan waktu dan beban kerja tinggi menyebabkan tiada ruang untuk bersosial dan rekreasi.
Dr Azhar berkata, masalah stres dan tekanan perasaan doktor pelatih belum mencapai tahap kritikal, namun boleh menjejaskan hasrat kerajaan untuk menambah doktor di negara ini jika tidak ditangani segera.
Dua tahun lalu, nisbah doktor berbanding pesakit di negara ini adalah 1:927 dengan kerajaan menyasarkan meningkatkan nisbah itu kepada 1:600 menjelang 2015.

No comments:
Post a Comment